Thursday, 17 March 2011

KASIHMU PADA KU

Fikiran saya kembali tenang. Bukan kerana masalah telah menghilang tetapi kerana ada teman di kala saya dalam kegelisahan.

Teman yang saya maksudkan adalah sebuah buku yang di hadiahkan oleh seseorang yang pernah mencuri hati saya.Buku ini adalah tanda kasih terhadap saya.Kehadiran buku ini juga tepat pada masa dan situasi diri saya yang gelisah memikirkan si dia yang makin jauh dari saya.Buku ini juga sebagai sumber kekuatan saya untuk bangkit dari kesedihan.


Semalam 16/3/2011.Terkesan di hati saya apabila melihat buku ini dengan nama pengirim pada kertas bungkusan.Ketika si dia semakin jauh mencari sinar bahagia, si dia tetap ingin melihat saya gembira dengan menasihati dan memberi motivasi kepada saya walau dari jarak yang jauh. Pertama kali mengambil buku ini,airmata mengalir laju mengenangkan si dia dan saat membaca pandangan sisi buku ini terasa hati mula merasa sedikit ketenangan lalu airmata mengalir lagi dari celahan kelopak mata apabila membaca perenggan dari bab “SEDIH” (m/s 13)

“kamu mencuba untuk berpisah tetapi tidak boleh,jika kamu diam suaramu tetap terngiang di telinga.Jika kamu pergi bayanganmu masih tersisa di pandangan mata.Saya berusaha memejamkan mata,tetapi bayanganmu masih tetap terlihat.Saya berusaha menyendiri,tapi saya masih mendapatimu.Saya berdiri di depan cermin,kamu masih tetap di depan saya.Ketika saya kembali ke alam realiti,saya tidak melihat kamu”

Buku tulisan Dr. Ibrahim Fiqhy ini bersifat ringan tetapi amat sarat dan padat dengan pesanan dan kupasan-kupasan mengenai kegelisahan dan kesedihan yang melanda umat Islam hari ini.Termasuk diri saya.

Beliau berjaya mengalihkan kegelisahan dan kesedihan yang berupa ujian lalu diubah di minda dan fikiran kita sebagai ibadah yang membawa nilai di sisi Allah Subhanahuwataala.

Penulis juga membentangkan sebuah inspirasi daripada ceramah Syeikh Aidh al-Qarny buat pembaca yang sedang dipeluk gelisah.

Antara inti ceramah tersebut adalah :-

  • Setelah kesusahan pasti ada kemudahan.
  • Berfikir dan bersyukurlah.
  • Apa yang berlalu tidak akan kembali.
  • Harimu...harimu.
  • Biarkanlah masa depan hingga ia datang.
  • Bagaimana menghadapi kritikan pedas?
  • Jangan pernah menunggu ucapan terima kasih daripada orang lain.
  • Berbuat baik kepada orang lain akan melapangkan dada.
  • Usirlah waktu luang dengan aktiviti.
  • Keputusan dan ketentuan.
  • Buatlah daripada lemon minuman yang nikmat.
  • "Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesusahan." (an-Naml: 62)
  • Ganti daripada Allah.
  • Iman adalah kehidupan.
  • Ambillah madunya dan jangan rosak sarangnya.
  • "Bukankah dengan berzikir dapat mententeramkan hati." (ar-Ra'du: 28)
  • "Atau mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya?"
  • Terimalah hidup apa adanya.
  • Menghiburkan orang yang ditimpa musibah.
  • Solat...solat.
  • "Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung." (Ali Imran: 173)
  • "Katakanlah: Berjalanlah di muka bumi." (al-An'am: 11)
  • "Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." (Yusuf: 18)

Bagi orang yang beriman, dia kena tahu bahawa Allah jua yang mendatangkan ujian-ujian ini. Jika dirujuk kepada al-Quran, salah satu ujian adalah untuk menguji dan mengasingkan orang beriman dengan orang yang kurang beriman. Wahai orang yang beriman, tolong tengok-tengoklah maksud ayat ini:

"Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (begitu sahaja dengan) mengatakan: Kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (al-Ankabut: 2-3)Selaku orang yang beriman, apabila kita ditimpa musibah, kita kena cepat-cepat ingat kepada Allah Taala dan kembali kepada-Nya. Dengan kembali kepada Allah Taala, kita sudah berada di dalam sebuah hamparan bernama ibadah yang sangat luas. Mengambil kesempatan di atas kegelisahan musibah dengan menukar keadaannya itu adalah sebuah kebijaksanaan.

Mukmin yang bijaksana adalah mukmin yang tidak terlalu cepat merungut dan mencari manusia untuk bercerita. Seorang mukmin adalah seorang yang cekal dan tabah mengharungi ujian yang sengaja dibawa di hadapan-Nya. Hatinya penuh tepu dengan Allah Taala kerana sebelum datangnya ujian, dia sudah lama mengenali sifat-sifat Allah Taala.

Allah Taala menguji bukan bermakna Dia membenci. Bahkan itu tandanya orang itu sedang dirahmati kerana diberi perhatian.

Memang tepat sekali. Manusia bukanlah tempat mengadu segala masalah kerana manusia juga tetap lemah seperti kita. Sebaliknya Allah Taala adalah sebaik-baik tempat mengadu dan tempat pengharapan bagi menyelesaikan segala bentuk ujian dan masalah.

Dapatkanlah buku ini sebagai panduan untuk kita menukarkan segala kegelisahan supaya bernilai ibadah di sisi Allah Taala.

Wallua'lam.

Harga : RM15.00
Terbitan: Kemilau Publika Sdn Bhd



No comments: